Masjid Kampung Keling
Masjid Kampung Keling

Masjid Kampung Keling

Masjid Kampung Keling merupakan sebuah masjid yang terletak di daerah Melaka Tengah, Melaka, Malaysia. Masjid Kampung Keling adalah antara masjid paling tua di Malaysia. Dibina pada tahun 1748, masjid ini terletak di Jalan Hang Lekiu, di persimpangan Jalan Tukang Emas. Kawasan ini dipenuhi dengan kedai-kedai perniagaan orang Cina. Di masa masjid ini dibangunkan, kawasan sekitar masjid ini didiami oleh penduduk daripada kawasan selatan negeri India, dan penduduk-penduduk ini dipanggilkan “Keling” (daripada perkataan Kalinga).Gaya berganda dalam senireka masjid melambangkan perkembangan pesat ilmu senibina di Melaka pada masa itu, dengan kedatangan pengaruh-pengaruh binaan yang dibawa oleh orang Belanda dari Eropah. Masjid Kampung Keling dibina menggunakan tapak segi empat sama, dan bukan di atas tapak segi empat tepat ataupun heksagon seperti yang diamalkan di negara-negara Timur Tengah. Kawasan beranda dihiaskan dengan tiang Corinthian dan mengelilingi kawasan dewan solat. Tiang Corinthian juga menadakan pemisah di antara ruang minbar daripada dewan solat.Bumbung tiga lapisan digunakan dalam senibina Masjid Kampung Keling ini, seperti mana bumbung di Masjid Kampung Hulu. Bumbung tiga lapisan ini mencirikan masjid-masjid di Melaka. Bumbung disokong oleh 4 tiang seri di tengah-tengah masjid. 4 tiang seri ini dilengkapkan dengan 8 tiang yang lebih kecil yang digunakan untuk menyokong struktur lapisan kedua dan lapisan ketiga bumbung berlapis tiga itu. . Menara masjid dibina daripada batu, dan mempunyai bentuk seperti sebuah pagoda, juga satu ciri masjid di Melaka. Pengaruh lain digunakan kerana sebelum pembinaan Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Keling, masjid-masjid binaan orang Melayu tidak menggunakan menara.Pada tahun 1868, masjid dan menara dilindungi oleh tembok tinggi sebagai pemisah dengan jalan raya. Jubin seramik diimport dari negara China unutk menghiasi bumbung, lantai dan dinding-dinding masjid ini. Motif hiasan yang menghiasi pintu, tingkap dan juga hiasan pada tepi tebing bumbung juga dipengaruhi hiasan China. Pengaruh seni bina Eropah dimasukkan dalam pembinaan masjid ini, khususnya dengan laparan plaster yang digunakan untuk dinding bahagian dalam masjid ini. Masjid Kampong Keling terletak di Bandar Melaka, Melaka. Masjid ini dibina tidak jauh ke belakang dengan Masjid Kampong Hulu. Ia dibina seawal tahun 1152 Hijrah bersamaan 1748 Masehi. Kemudian masjid ini diperbaharui dalam tahun 1288 Hijrah bersamaan 1872 Masehi dengan bangunan batu. Dalam tahun 1908 atap masjid ini ditinggikan mengikut Kampong Hulu. Keseluruhannya pembinaan masjid ini adalah derma daripada hartawan-hartawan dan orang ramai. Menara konkrit masjid ini terletak berasingan daripada bangunan utama di sayap barat manakala tempat berwuduk terletak di sayap selatan. Tapak masjid ini dikatakan tapak sebenar di mana pedagang India Muslim yang datang ke Melaka untuk berdagang pada abad ke-14 dan 15 menunaikan solat sejurus setelah tiba di Melaka.